Skip to main content

Sampaikan Dengan Hikmah

Allah s.w.t telah berfirman dalam surah an-Nahl, ayat 125:

ٱدْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِٱلْحِكْمَةِ وَٱلْمَوْعِظَةِ ٱلْحَسَنَةِ ۖ وَجَـٰدِلْهُم بِٱلَّتِى هِىَ أَحْسَنُ ۚ إِنَّ رَبَّكَ هُوَ أَعْلَمُ بِمَن ضَلَّ عَن سَبِيلِهِۦ ۖ وَهُوَ أَعْلَمُ بِٱلْمُهْتَدِينَ

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk.

Perkataan "nasihat" berasal daripada bahasa Arab, iaitu an-nush yang bermaksud "ketulusan", "keikhlasan", dan "kesucian daripada kotoran". Dalam konteks al-Quran dan hadis, perkataan nasihat sering kali merujuk kepada usaha untuk menghendaki kebaikan bagi pihak lain. Kita pasti pernah mendengar hadis Rasulullah s.a.w. yang bersabda: “Agama itu adalah nasihat.” Para sahabat bertanya, “Untuk siapa, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Untuk Allah, Rasul-Nya, para pemimpin kaum Muslimin, dan masyarakat semuanya.”

Teguran dan nasihat yang disampaikan tanpa adab yang betul bukan sahaja boleh menyebabkan salah faham, malah berpotensi menimbulkan perkelahian dan perpecahan. Oleh itu, kita perlu ingat semula adab-adab menegur yang sepatutnya, seperti menasihati seseorang di tempat yang tidak ramai orang, agar mesej yang disampaikan lebih diterima dengan baik.

Akhir sekali, ingatlah pesanan Nabi s.a.w bersabda :

إِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ رِضْوَانِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَرْفَعُهُ اللَّهُ بِهَا دَرَجَاتٍ وَإِنَّ الْعَبْدَ لَيَتَكَلَّمُ بِالْكَلِمَةِ مِنْ سَخَطِ اللَّهِ لاَ يُلْقِي لَهَا بَالًا يَهْوِي بِهَا فِي جَهَنَّمَ

“Seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang diredhai Allah yang mana dia terlintas (untuk bercakap tentangnya) maka Allah akan mengangkat darjatnya. Manakala seorang hamba yang bercakap tentang satu perkataan yang dimurkai Allah yang dia sendiri dia terlintas (untuk bercakap tentangnya dan tidak dipastikan kebenarannya) maka dia akan terjatuh ke dalam neraka Jahannam.” - HR Imam al-Bukhari

 

Catatan:

*Teguran dan nasihat adalah ubat yang bertujuan menyelamatkan daripada perkara yang lebih buruk.

*Kedua-dua pihak, penyampai dan penerima, mempunyai peranan dalam menjaga adab, demi meraih kebaikan bersama.

*Sebagai seorang yang beriman, kita perlu bijak dalam memilih kata-kata dan nada suara, agar dapat diterima penyampaian kita.

 

- Ustaz Md Lutfi Zulkiflee, MRO A.Q.S.A (Al-Islah Quran Solat Academy)

  • Hits: 39